46 unit rumah diserah untuk projek penempatan semula perumahan Kg Pendas Baru Fasa 2

46 unit rumah diserah untuk projek penempatan semula perumahan Kg Pendas Baru Fasa 2

ISKANDAR PUTERI (19 September 2021): Kerajaan Negeri Johor menerusi Pejabat Daerah Johor Bahru telah menyerahkan secara rasmi 46 unit rumah kepada penduduk setempat sempena projek penempatan semula Kampung Pendas Fasa 2 pada hari ini. Sesi penyerahan rumah kepada pemilik-pemilik baru ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Haji Hasni bin Mohamad, Menteri Besar Johor. Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Johor YB Dato' Haji Azmi bin Rohani, Pegawai Daerah Johor Bahru YB Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Salleh, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri YB Dato' Haji Mohd Haffiz Bin Haji Ahmad dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB) YBhg. Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad.

 

Projek penempatan semula perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2 ini adalah usahasama Kerajaan Negeri Johor dan Iskandar Investment Berhad (IIB). Melalui anak syarikat IIB, Iskandar Asset Sdn Bhd (IASB), kesemua 46 unit rumah telah siap dibina di Kampung Pendas Baru fasa 2 di atas tanah milik Kerajaan Negeri dan telah diserahkan kepada pihak kerajaan untuk urusan penyerahan kepada penduduk yang terlibat.

 

Sewaktu sesi penyerahan rumah-rumah tersebut, Dato’ Haji Hasni bin Mohammad menyatakan: “Ini adalah satu lagi bukti hasil kolaborasi pihak kerajaan dan swasta yang dapat membawa pelbagai manfaat kepada rakyat terutama sekali di waktu pandemik yang mencabar ini.”

 

Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada semua pihak terutama sekali BPENJ, Pejabat Daerah Johor Bahru, MBIP, Jawatankuasa Penyelaras Khas Iskandar Puteri dan IIB yang telah berjaya menyempurnakan projek ini sekali gus membawa penyelesaian dalam isu penempatan perumahan di Kg Sg Pendas.

 

"Saya berharap semangat muafakat di antara sektor awam dan swasta ini akan dijadikan sebagai model atau penanda aras dalam usaha menyelesaikan pelbagai keluhan rakyat Johor di masa hadapan yang juga menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.” ujar beliau lagi.

 

Pegawai Daerah Johor Bahru, YB Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Salleh turut menyatakan, “Keutamaan diberikan kepada usaha memastikan kepentingan rakyat terus dipelihara demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup masyarakat setempat. Saya amat bersyukur kerana semua pihak telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan demi mencapai matlamat ini bersama Pejabat Daerah Johor Bahru, yang merupakan penyelaras utama projek penempatan semula perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2 yang berkeluasan 6.66 ekar ini.”

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif IIB, YBhg. Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, “Sebagai warga korporat yang prihatin, IIB telah menanggung kos keseluruhan bagi membina sebanyak 118 unit rumah di Kampung Pendas Baru yang terbahagi kepada dua fasa iaitu 72 unit rumah di Fasa 1 pada tahun 2011 dan 46 unit rumah di Fasa 2 pada tahun 2021. Ini merupakan bukti komitmen kami dalam memastikan segala usaha pembangunan oleh IIB melalui syarikat-syarikat operasi kami adalah seimbang dan lestari terutama sekali untuk komuniti setempat dari segi ekonomi, alam sekitar dan sosio budaya.”

 

 

Di atas dasar keprihatinan ini, IIB telah membina 46-unit rumah untuk penempatan semula perumahan bagi penduduk di Kampung Ladang Darat berpindah ke Kampung Pendas Baru Fasa 2 dengan kos keseluruhan sebanyak RM 16.3 juta di atas tanah milik Kerajaan Negeri Johor seluas 6.66 ekar berdasarkan bancian yang telah dijalankan pada tahun 2014 dan 2019. Penempatan semula penduduk ini dilaksanakan susulan penempatan asal di Kampung Ladang telah dikenalpasti berada di atas tanah persendirian milik IASB.

 

Setiap rumah teres satu tingkat yang berkeluasan 1,000 kaki persegi ini turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan awam seperti dewan serbaguna, surau, dan taman permainan.