Kenali NFT - Non-fungible token

Kenali NFT - Non-fungible token

Token tidak sepiawai (Bahasa Inggeris: non-fungible token (NFT)) adalah unit data yang disimpan pada lejar digital yang semakin meningkat popular sejak akhir ini. Unit data NFT yang menggunakan bentuk blockchain menjadi suatu pengenalan standard untuk membuktikan pemilikan sesuatu seni digital seperti foto, video, audio dan seumpamanya. Karya seni NFT dijual dengan harga berjuta-juta dolar.

 

Bagi anda yang tidak biasa dengan trend ini, pasti tertanya-tanya mengapa peminatnya sanggup membelanjakan banyak wang untuk barangan yang hanya wujud dalam bentuk digital, bahkan boleh dilihat oleh sesiapa sahaja secara percuma.

 

 

PENGENALAN RINGKAS KEPADA NFT

NFT ialah aset digital yang wujud dalam bentuk blockchain; sebuah rekod transaksi yang disimpan pada komputer berangkaian (networked computers). Blockchain berfungsi sebagai lejar awam, membenarkan sesiapa sahaja untuk mengesahkan ketulenan NFT dan pemiliknya. Orang tak boleh tipu ye.

 

Tidak seperti kebanyakan aset digital lain yang boleh diterbitkan semula berulang kali, setiap karya NFT mempunyai tandatangan digital yang unik yang menjadikannya mustahil untuk diulang hasil.

 

NFT biasanya dibeli dengan mata wang kripto (cryptocurrency) atau dalam dolar dan blockchain. Walaupun sesiapa sahaja boleh melihat NFT, hanya pembeli yang mempunyai status sebagai pemilik rasmi.

 

JENIS-JENIS NFT

Semua jenis objek digital seperti imej, video, muzik, teks dan juga tweet - boleh dibeli dan dijual sebagai NFT. Tweet pertama daripada bos Twitter Jack Dorsey – "just setting up my twttr" - dijual pada harga USD2.9 juta sebagai NFT pada bulan Mac 2021.

 

Seni digital telah menyaksikan beberapa jualan berprofil tinggi, manakala dalam sukan, peminat boleh mengumpul dan memperdagangkan NFT yang berkaitan dengan pemain atau pasukan tertentu.

 

NFT juga boleh dihasilkan menyerupai tompok tanah dalam persekitaran dunia maya, pakaian digital atau penggunaan eksklusif nama dompet mata wang kripto.

 

 

KEPENTINGAN NFT

Peminat melihat NFT sebagai satu masa depan pemilikan (future of ownership). Semua jenis aset - daripada tiket acara sehingga geran rumah dan bangunan – semuanya akan mempunyai status pemilikan yang menggunakan NFT.

 

Bagi artis, NFT boleh menyelesaikan masalah bagaimana mereka boleh menjual karya seni digital. Mereka boleh menerima lebih banyak pendapatan daripada NFT, kerana boleh mendapat royalti setiap kali NFT bertukar tangan selepas proses jualan.

 

RISIKO

Seperti mata wang kripto, sebahagian besar regulasi NFT tidak dikawal. Sesiapa sahaja boleh mencipta dan menjual NFT dan tiada jaminan nilainya. Kerugian juga boleh berganda jika permintaan semakin berkurang.

 

Dalam pasaran bebas di mana ramai pengguna menggunakan nama samaran; kes fraud dan penipuan juga merupakan risiko utama penggunaan NFT.

 

Jadi, pastikan anda membuat kajian yang menyeluruh untuk memahami konsep NFT, barulah boleh berjinak-jinak dalam dunia NFT. Semoga berjaya!