Bajet 2022 Johor fokus bantu rakyat

Bajet 2022 Johor fokus bantu rakyat

JOHOR BAHRU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijadualkan bermula 18 November ini dengan pembentangan Bajet Johor 2022, akan memfokuskan bantuan kepada rakyat yang terkesan pandemik COVID-19.

 

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata ia termasuk dari sudut ekonomi, pengusaha kecil dan sederhana, pelabur, kadar pengangguran serta golongan memerlukan.

 

Katanya, kepayahan yang dilalui banyak pihak ketika pandemik COVID-19 tidak bersifat kekal, menyebabkan kerajaan negeri akan berusaha membantu apabila Johor sudah memasuki fasa empat.

 

"Kerajaan akan terus komited dan berusaha mengambil langkah perlu bagi membantu rakyat terkesan. Jika pakej rangsangan adalah kaedah terbaik, kita akan teruskan dan perluaskan kepada golongan yang menerima bantuan.

 

"Jika tidak pun nilai bantuan akan ditambah dan dapat membantu lebih ramai berdasarkan kemampuan kerajaan negeri. Berdasarkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 3.0 ia mencakupi banyak pihak.

 

"Penumpuan besar dalam keadaan ekonomi, sempadan yang tutup, individu yang terkesan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP), kesihatan dan pelabur. Kami kerap berjumpa pelabur dan menyatakan kerajaan negeri akan bantu mudahkan banyak perkara," katanya pada sidang media Majlis Apresiasi Pre-Ihsan Johor 3.0 2021 di sini, hari ini.

 

Hasni berkata, Bajet 2022 Johor dirangka untuk membantu seramai mungkin rakyat.

 

Katanya, bajet itu membolehkan kerajaan negeri menggerakkan banyak sektor dalam tempoh singkat.

 

"Kita akan memikirkan soal peluang usahawan kecil dan sederhana meningkatkan pencapaian dan merancakkan perniagaan mereka. Antaranya, penguatkuasaan yang memberi lesen perlu mengambil pendekatan pemudah cara terhadap proses berkenaan.

 

"Sebagai asas kerangka bajet 2022, kita beri tumpuan kepada penggerak utama jaminan bekalan makanan seluruh ekosistem, petani, pekebun, pematuhan piawaian dapat bergerak seiring, agenda digital johor dan pelbagai lagi bajet diperlukan rakyat negeri ini.

 

"Kita juga tidak mengetepikan golongan anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19. Mereka ini akan dijadikan anak angkat oleh kerajaan negeri sehingga satu umur yang akan dibincangkan kelak," katanya.