15,000 baucar pelancongan lonjak Johor
ISKANDAR PUTERI: Pemberian 15,000 baucar Pakej Pelancongan Johor berjumlah RM1.5 juta dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan semula sektor pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemberian baucar bernilai RM100 itu boleh ditebus menerusi aplikasi Johor Tourism Interchange (JTI) bermula Jumaat ini hingga 30 November ini.
Beliau berkata, baucar itu boleh digunakan untuk lebih 200 pakej pelancongan yang disediakan dalam aplikasi berkenaan yang berakhir antara penghujung tahun ini dan awal tahun depan.
“Setiap pakej yang ditawarkan ke destinasi pelancongan menarik di negeri ini ada yang sah sehingga penghujung tahun ini dan ada juga berakhir pada tahun depan.
“Sekiranya inisiatif ini mendapat sambutan menggalakkan, ia akan diteruskan pada tahun depan dalam usaha menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan rakyat Malaysia.
“Pemberian baucar pelancongan berjumlah RM1.5 juta itu dilihat mampu menjadi galakan kepada pertambahan kehadiran pelancong ke negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim. – UTUSAN ONLINE