PPV PIKAS EduCity Iskandar Mampu Beri Suntikan Vaksin 1,000 Sehari
ISKANDAR PUTERI – Kompleks Sukan Educity (ESC), di sini yang mula beroperasi pada 2 Ogos 2021 sebagai Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) berupaya memberikan suntikan vaksin kepada 1,000 penerima setiap hari.
Pusat sukan itu dikendalikan pengurusan EduCity Iskandar Malaysia Sdn. Bhd., dipilih menjadi PPV di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kerjasama Awam-Swasta COVID-19, iaitu Program Imunisasi Industri (PIKAS) atau PPV PIKAS.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, PPV PIKAS EduCity Iskandar itu akan melayani industri pembuatan yang berdaftar di bawah MITI di Iskandar Puteri, Gelang Patah, Pekas Nanas, Senai, Kulai dan Skudai.
“MITI ingin mengucapkan terima kasih kepada EduCity dalam kerjasama awam-swasta ini untuk mempercepatkan program vaksinasi untuk sektor pembuatan di Johor.
“Mempercepatkan program vaksinasi akan memastikan kelestarian ekonomi dan kesejahteraan masyarakat kita,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke PPV berkenaan semalam.
Turut hadir, Pengarah Urusan EduCity, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi.
EduCity Iskandar Puteri merupakan anak syarikat Iskandar Investment Berhad (IIB).
Menurut Ban Hong, hingga 31 Julai lalu, seramai 472,525 pekerja pembuatan di seluruh negara telah menerima dos pertama menerusi program itu, manakala 55,839 pekerja menerima dos kedua.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Saifuddin berkata, ruang yang mencukupi di PPV terbabit dapat memastikan persekitaran yang selamat bagi penerima vaksin.
Tahun lalu, pusat sukan itu menjadi Pusat Persampelan COVID-19 di Iskandar Puteri dan lebih 20,000 sampel telah diambil dengan purata 1,000 orang sehari. – THE VOICE