Usah Persoal, Patuhi SOP – Mufti Johor

Usah Persoal, Patuhi SOP – Mufti Johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Umat Islam di negeri ini perlu patuh dengan syarat kebenaran solat Jumaat yang sudah diputuskan kerajaan negeri pada Selasa. Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, syarat itu tidak wajar dipersoalkan kerana sudah mengambil kira pelbagai perkara termasuk aspek keselamatan dan kesihatan jemaah bagi membendung penularan Covid-19. Jelasnya, keputusan itu adalah hasil muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Johor sebelum diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Semua ketetapan yang membabitkan hukum hakam menangani Covid-19 seperti menghadkan bilangan jemaah solat Jumaat sudah diputuskan oleh mufti-mufti dan alim ulama yang berautoriti di Malaysia. “Akur dan patuhlah tanpa perlu mempersoalkannya lagi. Islam itu agama yang indah, tidak pernah memberatkan atau membebankan umatnya hingga mengakibatkan kepada mudarat yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rasa tidak puas hati seorang lelaki berkenaan bilangan jemaah untuk solat Jumaat di negeri ini yang dihadkan, namun syarat itu tidak dipatuhi apabila ada jemaah berdegil dan solat Jumaat di luar pekarangan masjid.

Pada 8 Februari lalu Exco Hal Ehwal Agama Islan Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi dan Yahya dalam sidang akhbar mengumumkan keputusan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu namun hanya dihadkan kepada 40 jemaah sahaja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 9 Februari hingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Yahya berkata, umat Islam perlu mengutamakan keselamatan dan kesihatan contohnya bila mereka menghadapi keuzuran diberikan keringanan untuk mendirikan solat dalam keadaan duduk jika tidak berupaya berdiri dan berbaring jika tidak lagi boleh duduk.

Katanya, begitu juga keadaan seterusnya sehingga ke tahap pergerakan kelopak mata dan niat dalam hati, namun solat tetap wajib dilaksanakan. “Justeru, kita sekarang berada dalam wabak yang berbahaya. Berapa ramai sudah kesakitan dan terlantar di hospital kerana dijangkitinya. Berapa ramai yang meninggal dunia akibatnya. Bila wabak menular, semua orang wajib berperanan membendungnya. Antaranya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Begitu juga solat Jumaat di masjid yang perlu dihadkan bilangan jemaahnya. Bagi mereka yang tidak terpilih berjemaah di masjid, hendaklah menunaikan solat zuhur di rumah. Tidak wajib lagi baginya bersesak-sesak ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam Al-Quran dan hadis-hadis sudah ditegaskan tanggungjawab semua menghindarkan penularan wabak yang memudaratkan seperti ini. “Mungkin sebahagian jangkitan dan kematian yang sepatutnya boleh dielakkan akibat kedegilan kita. Jika betul ada jangkitan yang berlaku ke atas orang lain akibat kelalaian dan kedegilan kita, bersediakah kita menjawabnya di hadapan Rabbul jalil di padang mahsyar nanti?” soalnya. – VOICE

Johor Fokus Perbanyak RMBJ

Johor Fokus Perbanyak RMBJ

Kerajaan negeri tetap fokus melaksanakan Agenda Prasarana Johor dengan menyokong usaha pemaju membina lebih banyak...