SWM Lancar Aplikasi KITARecycle Penjejak Kitar Semula

SWM Lancar Aplikasi KITARecycle Penjejak Kitar Semula
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Syarikat konsesi sisa pepejal, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) melancarkan wajah baharu aplikasi mudah alih KITARecycle di rumah Iskandar Malaysia, di sini baru-baru ini.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, wajah baharu itu lebih mesra pengguna dengan peningkatan ciri keselamatan, pengenalan sistem laporan, penjejak aktiviti kitar semula dan penyelarasan mekanisme penebusan mata ganjaran terkumpul.

Aplikasi KITARecycle tersebut boleh dimuat turun secara percuma daripada Apple Store dan Google Play Store.

“KITARecycle dilancarkan setelah melalui proses pembaharuan, penambahbaikan, penjenamaan dan percubaan sejak tahun lalu.

“Pihak SWM Environment memperkenalkan sistem laporan aktiviti dan penjejak kutipan kitar semula sebagai rujukan pengguna KITARecycle memantau aktiviti mereka serta menyelaraskan kembali mekanisme penebusan mata ganjaran kepada wang tunai secara dalam talian,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kalendar Iskandar Puteri Rendah Karbon 2021 dan Aplikasi Mudah Alih KITARecycle di Rumah Iskandar Malaysia, di sini.

Hadir sama Pengurus Besar Korporat SWM Environment dan Pengurus Besar Prisma Harta Sdn Bhd, Mohd. Nadzir Che Omar serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Datuk Mohd. Haffiz Ahmad.

Pertandingan kalendar itu diperkenalkan khusus untuk penduduk, agensi kerajaan dan swasta serta sekolah dalam kawasan MBIP yang memberi focus terhadap peningkatan kesedaran komuniti dalam penjimatan air dan elektrik serta pengurusan sisa.

Sementara itu, Mohd. Haffiz menyifatkan ciri-ciri baharu KITARecycle bukan sekadar membudayakan amalan kitar semula, malah menyokong usaha MBIP menjayakan agenda masyarakat rendah karbon.

Katanya, kerajaan merangka dasar manakala syarikat konsesi pula tampil menyediakan medium dalam melestarikan pengurusan sisa pepejal, sekali gus mencapai sasaran 40 peratus kadar kitar semula menjelang 2025.

Sehubungan itu, masyarakat umum khususnya warga Bandaraya Iskandar Puteri diseru turut serta memainkan peranan proaktif sebagai melengkapi usaha yang dilaksanakan kerajaan dan syarikat konsesi.

Hajj and Mecca

Hari Raya Aidiladha

Both Hari Raya Aidilfitri and Hari Raya Aidiladha are two great festivals celebrated by Muslims...