Seronok berniaga di Bazar Ramadan Anjung

Seronok berniaga di Bazar Ramadan Anjung
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Seronok berniaga di Bazar Ramadan Anjung

ISKANDAR PUTERI – Penganjuran Bazar Ramadan Anjung di sini yang memberi peluang kepada para peniaga menambah rezeki terutamanya kepada yang baharu menceburi bidang itu untuk menjana pendapatan sendiri.

Bazar Ramadan Anjung di sini yang menempatkan 27 gerai peniaga menjadi tumpuan warga Kota Iskandar dan Medini.

Seorang peniaga nasi kandar, Mohd. Rais Ali, 28, berkata, Ramadan tahun ini adalah langkah pertama dia berniaga sendiri untuk mencari pendapatan sendiri.

“Sebelum ini saya membantu pak cik di kedai makan, namun pada Ramadan kali ini saya memutuskan untuk berniaga sendiri bagi merasai pengalaman mencari rezeki sendiri.

“Memang ada cabaran, namun selepas beberapa hari berniaga dan berinteraksi dengan pelanggan serta hasil jualan yang baik, saya rasa seronok keringat saya mendatangkan hasil,” katanya kepada IP Portal baru-baru ini.

Pada awal Ramadan lalu, jualan gerai Mohd. Rais agak kurang mendapat sambutan kerana menampilkan juadah orang utara, namun selepas beberapa hari, orang ramai mula membeli menu masakannya.

“Apabila kurang pelanggan, saya kena banyak memujuk orang ramai yang berjalan di depan gerai untuk singgah dan membeli juadah saya.

“Sedikit demi sedikit, kini saya sudah dapat ramai pelanggan yang membeli, mereka menyatakan nasi kandar saya berbeza daripada nasi kandar biasa dan lebih sedap,” ujarnya.

Nasi kandar Mohd. Rais ada sedikit kelainan apabila nasinya berwarna kekuningan dan menngunakan rempah ratus dalam masakan seperti gulai, ayam, daging, kari kepala ikan dan sotong.

Resipi nasi kandar itu diperoleh daripada emak saudaranya yang berasal dari Jelutong, Pulau Pinang dan dijual bermula RM5 sebungkus.

Hasil daripada pengalaman berniaga di bazar Ramadan itu dia merancang untuk membuka kedai nasi kandar di Iskandar Puteri selepas ini.