Penggunaan Tag Tali Kurangkan Kesesakan Di Bazar  Ramadan Anjung

Penggunaan Tag Tali Kurangkan Kesesakan Di Bazar  Ramadan Anjung
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Penggunaan tag tali yang dipraktikkan apabila mengunjungi bazar Ramadan Anjung di sini menerima respons yang baik daripada pengunjung kerana dapat mengelakkan kesesakan.

Pengurus bazar tersebut, Nazaruddin Shah Abd. Kadir berkata, amalan tersebut diperkenalkan pada hari ketiga Ramadan selepas mendapati bazar terbabit mengalami kesesakan sejak hari pertama lalu.

Bazar Ramadan Anjung di sini menjadi tumpuan warga Iskandar Puteri dan Medini kerana satu-satunya bazar yang terdapat di kawasan Kota Iskandar.

“Ekoran itu, bazar ini penuh sesak pada Ramadan pertama lalu kerana menjadi tumpuan penduduk di sini dan mereka yang pulang kerja di Kota Iskandar dan Medini.

“Bimbang mengenai penjarakan sosial di bazar ini, kami mengambil langkah memperkenalkan tag tali supaya dapat mengawal pengunjung kepada 80 orang pada satu masa,” katanya kepada IP Portal.

Terdapat kira-kira 27 peniaga yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman seperti nasi beriani dan kandar, makanan goreng, kuih-muih, air buah dan berbagai lagi.

Pihak pengurusan bazar amat menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pandemik COVID-19 untuk menjaga keselamatan pengunjung.

Sementara itu, seorang pengunjung, Anati Zahidah Zaflin, 27, gembira keadaan bazar terbabit tidak penuh sesak seperti sebelum ini.

“Saya setuju dengan penggunaan tag tali kepada setiap pengunjung bagi mengawal kemasukan orang ramai,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Siti Naziha Zakaria, 27, berkata, bazar tersebut sering menjadi lokasi persinggahan untuk membeli juadah berbuka selepas pulang dari pejabat.

“Saya pulang ke Gelang Patah dan akan singgah sini dulu kerana senang serta dekat dengan pejabat,” katanya.