Lubuk Pancing Ikan Iskandar Puteri

Lubuk Pancing Ikan Iskandar Puteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Tidak perlu turun ke laut atau sungai dalam keadaan berpanas dan hujan untuk mengail ikan tetapi tuah anda mungkin lebih baik di Pusat Memancing Zul di Kampung Sungai Danga, di Iskandar Puteri. Pusat memancing tersebut yang terletak berdekatan Jalan Sultan Ismail berhampiran pusat bandar Johor Bahru menjadi lokasi tumpuan kaki pancing pada hujung minggu.

Pengurusnya Norliza Wati Mat Yatim berkata, pusat memancing tersebut yang beroperasi sejak lima tahun lalu menyediakan pelbagai kemudahan termasuk tempat memancing berbumbung. Terdapat tiga kolam disediakan untuk pengunjung dengan setiap kolam berkapasiti 50 pemancing.

“Antara ikan laut yang terdapat di sini seperti siakap, jenahak, kerapu, merah, bawal dan banyak lagi dengan setiap bulan kami melepaskan kira-kira 100,000 ekor ikan. Oleh itu, mereka yang memancing di sini akan senang mendapat ikan sama ada untuk dibawa balik atau menjual semula kepada kami sebagai pendapatan pemancing,” katanya.

Pusat memancing berkenaan dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap minggu dengan bayaran masuk RM68 seorang bagi tiga jam dan RM80 bagi lima jam selain perlu mematuhi penjarakan sosial semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Seorang pungunjung, Harizan William, 22, berpuas hati dengan pusat memancing tersebut kerana berjaya menaikkan enam ekor jenahak pada hari itu. “Saya memang selalu datang sini memancing kerana dekat dengan rumah dan lokasi senang untuk datang selain selalu dapat ikan,” kata jurukimpal berkenaan yang datang tiga kali seminggu ke situ untuk memancing.

Seorang lagi pemancing, Ariffin Mohamad, 44, dikenali sebagai penghulu kolam kerana hampir setiap hari datang memancing di situ sejak lima tahun lalu. “Saya datang memancing kerana melepaskan gian untuk berentap dengan ikan ketika menarik joran. Apabila dapat banyak ikan, saya akan jual semula sebagai bayaran tiket masuk di sini,” katanya yang merupakan seorang peniaga.

Dia pernah menaikkan ikan sebanyak 20 ekor sehari di kolam itu dan menjadi antara ‘lubuk’ pilihannya di kawasan Iskandar Puteri.

IIB Agih 2,000 Bubur Lambuk

IIB Agih 2,000 Bubur Lambuk

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk diagih-agihkan oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) secara...