Johor Beri Jaminan Penerima Vaksin Ikut Senarai Ditetapkan KKM

Johor Beri Jaminan Penerima Vaksin Ikut Senarai Ditetapkan KKM
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

Kerajaan Negeri Johor memberi jaminan bahawa penerima vaksin Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Johor akan mengikut senarai yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Mohammad berkata, senarai penerima vaksin yang disediakan Kerajaan Negeri Johor sebelum ini perlu dikemukakan kepada KKM.

”Pelbagai proses dan kaedah dijalankan bagi memastikan penerima vaksin pertama ini benar-benar daripada petugas barisan hadapan, sama ada daripada KKM dan bukan KKM,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Johor di Dewan Muafakat Johor di Taman Adda.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan terdapat individu lain selain daripada petugas barisan hadapan dimasukkan dalam senarai penerima vaksin bagi fasa pertama.

Terdahulu, YAB Menteri Besar menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech diikuti ketua-ketua jabatan pelbagai agensi barisan hadapan di negeri ini, termasuk Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Haji Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, YB Tuan Vidyananthan a/l Ramanadhan, Barisan Exco dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Dr. Aman Rabu.

Sementara itu, YAB Menteri Besar berkata, seramai 35,100 petugas barisan hadapan di Johor akan menerima vaksin COVID-19 fasa pertama program itu.

“Bilangan barisan hadapan yang akan diberi suntikan vaksin pada fasa pertama ini adalah seramai 35,100 orang berdasarkan dua dos setiap orang.

“Namun, jumlah barisan hadapan di Johor adalah seramai  41,034 orang dan terdapat kekurangan 5,934 orang. Bagaimanapun, baki barisan hadapan ini akan menerima vaksin pada fasa kedua nanti,” katanya.

“YAB Datuk Haji Hasni Mohammad menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech daripada Ketua Jururawat Pejabat Kesihatan Johor Bahru, Badariah Mohd. Khalid,  pada Program Imunisasi COVID-19 Peringkat Negeri Johor di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda di Johor Bahru, Johor.”

Johor Fokus Perbanyak RMBJ

Johor Fokus Perbanyak RMBJ

Kerajaan negeri tetap fokus melaksanakan Agenda Prasarana Johor dengan menyokong usaha pemaju membina lebih banyak...