Bazar Ramadan Iskandar Puteri Guna Sistem Kupon

Bazar Ramadan Iskandar Puteri Guna Sistem Kupon
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menggunakan sistem kupon bagi mengelakkan suasana sesak di bazar Ramadan di kawasan pentadbirannya, sekali gus mampu mengawal jumlah pengunjung secara berkesan.

Datuk Bandar MBIP, Datuk Mohd Haffiz Ahmad, berkata sistem itu dipraktikkan di semua 11 tapak bazar Ramadan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, selain sembilan bazar Ramadan swasta di kawasan berkenaan.

Katanya, MBIP juga menempatkan sekurang-kurangnya empat hingga lima anggota penguatkuasa bersama sukarelawan bagi menjaga semua pintu keluar masuk untuk memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain pengagihkan kupon.

“MBIP menguatkuasakan sistem kupon di semua 20 tapak bazar Ramadan bawah seliaan dan pemantauan kami yang membabitkan 1,050 petak perniagaan.

“Di Bazar Ramadan Nusa Perintis, di sini, contohnya, terdapat 122 gerai niaga dengan 244 kupon kemasukan sahaja disediakan.

“Jika kupon sudah habis diagihkan, pengunjung perlu menunggu sehingga ia dipulangkan dahulu sebelum mereka dibenarkan memasuki tapak bazar.

“Menerusi sistem ini, kita dapat mengawal sepenuhnya jumlah pengunjung untuk elak kesesakan di tapak bazar malah penguat kuasa juga diarahkan membuat pemantauan di bahagian tapak niaga bagi memastikan pengunjung mematuhi semua SOP ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Bazar Ramadan Anjung serta Bazar Ramadan Nusa Perintis.

Semalam media melaporkan, keterujaan orang ramai menyerbu hari pertama bazar Ramadan dibuka di bandar raya ini, menyebabkan keadaan sesak, selain pengunjung pula alpa terhadap penjarakan fizikal.

Sementara itu, tinjauan di bazar Ramadan Nusa Perintis mendapati, penguatkuasa MBIP dilihat mengagihkan kupon kepada pengunjung ketika mereka memeriksa suhu badan dan mengimbas aplikasi MySejahtera.

Kon dan garisan kuning juga diletakkan di tengah tapak bazar sebagai penanda laluan keluar masuk supaya pengunjung mempunyai jarak fizikal mencukupi sekali gus tidak melanggar SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Mohd Haffiz berkata, beliau berpuas hati dengan kepatuhan pengunjung dan peniaga terhadap SOP ditetapkan.

“Namun kita juga ada menegur peniaga supaya menggunakan pelitup muka dengan sempurna dan memakai sarung tangan plastik di samping mengingatkan pengunjung supaya melakukan penjarakan fizikal,” katanya.

Berita Harian

Hajj and Mecca

Hari Raya Aidiladha

Both Hari Raya Aidilfitri and Hari Raya Aidiladha are two great festivals celebrated by Muslims...